Oct 05, 2025 - FASSelangor FC berada di negeri Pulau Mutiara bagi perlawanan minggu ketujuh saingan Liga Super 2025/26 menentang Imigresen FC di Stadium Negeri, Pulau Pinang pada jam 5 petang ini.
Menurut Ketua Jurulatih Interim, Christophe Gamel, beliau mahu pasukan kekal fokus untuk dapatkan momentum terbaik serta bawa pulang tiga mata penuh.
“Saya sentiasa bersikap positif dengan cabaran yang ada. Matlamat pasukan tetap sama, untuk mendapatkan tiga mata penuh, walaupun tidak mudah kerana semua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri, tetapi kuncinya adalah mereka perlu kekal fokus pada permainan serta beraksi dengan mentaliti yang betul. Langkah demi langkah kita akan capai sasaran tersebut kerana kita mempunyai skuad yang penuh dengan kualiti,” yakin beliau.
Bagi keberadaan pemain, Willian Lira dan Mukhairi Ajmal masih dalam fasa pemulihan. Kemudian, Picha Autra dan Samuel Somerville telah mula mengikuti jadual latihan pasukan. Manakala, para pemain Merah Kuning yang lain bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan ini.
Pihak pengurusan Selangor FC sentiasa berada di belakang pasukan dan yakin pasukan akan berikan yang terbaik dalam perlawanan #IMISFC.
Demi Kebanggaan!